Random Post: Catatan Jumaat 2
RSS 2.0
  • Home
  • Bibliografi
  •  

    Catatan Jumaat

    Alhamdulillah akhirnya aku dapat siakan blog ini. Blog ini aku buat untuk menghilangkan kebosanan yang melanda diri aku. Pada pagi jumaat tadi aku bangun dari tidur seperti biasa dan menulis blog aku yang satu lagi yang berjudul Pandangan Kita. Bagi aku menulis blog dapat menghilangkan kebosanan di samping dapat mencapai kepuasan diri. Aku memang minat dalam dunia penulisan ini. Aku juga pernah menjadi penulis sambilan akhbar Sinar Harian beberapa bulan yang lepas, tetapi atas sebab kesibukan aku sebagai seorang siswa aku terpaksa mengurangkan karya-karya aku yang aku hantar kepada Sinar Harian.

    Selepas aku menulis di blog Pandangan Kita yang menjadi milik aku itu, aku pun terus memakai pakaian dan pergi ke kedai untuk menikmati sarapan pagi di Kedai Abang Awie. Jam di komputer aku telah menunjukkan waktu 10.55 pag, setelah aku memakai baju dan seluar aku terus pergi ke motosikal Honda Wave 100 aku dan mengeluarkanya daripada rumah aku. Memang menjadi kebiasaan aku menyimpan motosikal aku di dalam rumah kerana bimbang keselamatan motor aku. Maklumlah zaman sekarang ni, orang malas kerja apa yang mereka nak pasti dapat walaupun secara haram. Aku cuba menghidupkan enjin motor aku dalam masa beberapa saat sahaja motor aku berjaya dihidupkan.

    Semasa dalam perjalanan ke Kedai Makan Abang Awie, mata aku terpandang kanak-kanak sungguh riang dan riuh rendah bermain di padang bola buatan sendiri yang berdekatan dengan rumah aku. Kadang-kadang kesian juga kalau difikirkan pada kanak-kanak ini. Mereka terpaksa membuat sendiri Padang Bola untuk membolehkan mereka bermain bola sepak yang menjadi minat hampir semua rakyat Malaysia ini. Kalau beginilah macam mana lah kita nak jadikan skuad bola sepak kebangsaan kita sebagai skuad yang disegani oleh skuad-skuad negara lain. Aku tidak ingin menyalahkan sesiapa tetapi pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sepatutnya menyediakan padang bola untuk generasi yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. MPKB-BRI sepatutnya lebih peka dengan keperluan kanak-kanak.

    Setelah beberapa minit aku pun sampai di Kedai Makan Abang Awie dengan selamatnya. Setibanya aku di sana aku terus memesan nasi lemak ayam bersama air Milo Kosong Ais atau lebih dikenali dengan “Milo Kosong Beng” oleh orang Kota Bharu. Sementara pesanan aku siap aku mencapai akhbar Harian Metro yang sudah tersedia di atas meja kedai Abang Awie itu. Abang Awie memang sengaja menyediakan kemudahan akhbar itu untuk kemudahan pelanggan-pelangganya untuk mendapatkan berita dan isu-isu semasa selari dengan budaya membaca yang ingin diterapkan oleh kerajaan.

    Beberapa lama kemudian, makanan dan minuman yang aku pesan sampai di meja aku. Aku pun mula menyuap nasi lemak ayam itu dimulakan dengan Bismilahirahmanirahim dan diikuti dengan doa makan seraya menyuap nasi lemak ayam itu ke mulut aku sedikit demi sedikit. Aku kunyah perlahan-lahan bagi mengelakkan aku tercekik tambahan lagi aku lazimnya habiskan makanan aku dulu sebelum aku meneguk air. Mungkin sudah biasa jadi tabiat itu seolah-olah dah melekat dalam diri bak kata orang Kelantan ‘lekat rak’. Apabila aku selesai makan, aku terus meneguk air sedikit demi sedikit seraya meminta rokok dari abang Awie memandangkan aku lupa untuk membawa rokok aku. Jangan salah faham aku bukan minta rokok secara percuma dengan Abang Awie tetapi aku membayarnya. Setelah menghabiskan sebatang rokok aku pun bertanya kepada Abang Awie berapa jumlah yang patut aku bayar dan membayarnya.

    Setelah aku membayarnya aku menaiki motor Honda Wave kelabu aku dan terus pulang ke rumah melalui jalan yang berlainan daripada yang aku lalui untuk pulang ke rumah. Sebaik sahaja aku memasuki jalan kampung bertar yang berdekatan dengan rumah aku, aku melihat satu bonggol jalan yang terlalu tinggi dan boleh memudaratkan motor aku. Terfikir juga aku “Kenapalah buat bonggol ni tinggi sangat, tinggi yang melampau pula tu. Aku faham mereka buat tu supaya orang memandu laju di jalan tersebut, tetapi bertimbang rasalah sikit sebab berkemungkinan bonggol yang terlalu tinggi itu mungkin boleh mengakibatkan kecelakaan.

    Aku terus menunggang motosikal aku menuju ke rumah aku dengan perlahan-lahan bagi mengelak aku terlanggar bonggol yang terlalu tinggi itu dan juga kanak-kanak yang bebas berbaik di jalan tersebut. Beberapa minit kemudian aku berjaya tiba ke rumah sewa yang didiami oleh aku dan kawan-kawan aku dengan selamat tanpa sebarang masalah. Aku pun terus membuka kunci rumah aku dan terus naik ke tingkat atas rumah aku untuk menyambung kerja-kerja menulis blog-blog aku.

    Setelah beberapa lama berlalu, sampailah waktu untuk aku menunaikan Solat Jumaat yang menjadi kewajipan terhadap lelaki-lelaki Islam pada setiap kali jumaat. Aku membersihkan tubuh aku dulu di dalam bilik air dahulu dan kemudian mengambil wudhuk kerana kebersihan sememangnya dituntut oleh Islam, lagipun kebersihan itu adalah sebagahian daripada Iman. Setelah selesai bersiap aku menunggu kawan aku yang masih lagi mandi di bilik air tingkat bawah rumah aku itu.

    Selepas beberapa minit aku menunggu, akhirnya kawan aku selesai bersiap, lantas aku pun mencapai motor aku dan cuba menghidupkan enjinya dengan menendang ‘penghidup tendang’ motor aku. Maklum sajalah motor aku tidak ada ‘penghidup elektrik’ atau ‘electric starter’ seperti yang terdapat pada motor orang lain kerana bajet aku hanya cukup untuk membeli motor yang aku ada sekarang sahaja. Perjalanan aku ke Masjid Muhammadi mengambil masa lebih kurang lima minit. Setibanya aku di sana aku pun mengunci motor aku dengan menggunakan kunci tambahan. Semasa di dalam Masjid aku mendengar khutbah yang disampaikan dengan teliti. Selepas selesai sembahyang jumaat aku pun pulang ke rumah.

    Semasa aku berada di rumah selepas Solat Jumaat, kawan aku Hafiz meminta aku untuk menemaninya ke Kedai Makan. Aku tidak menolak permintaan Hafiz itu dan terus mencapai topi kaledar aku yang sudah tersedia di atas meja aku. Setibanya aku di sana, aku memesan nasi kukus yang merupakan salah satu makanan kegemaranku yang amat popular di Kota Bharu ini. Sementara kawan aku Hafiz memesan makanan yang sama. Setelah pesanan aku dan Hafiz disiapkan. Hafiz bertanya kepada peniaga di situ berapa harga Paru-paru goreng dan Telur tetapi tidak membelinya, ini membuatkan aku malu dan marah. Oleh sebab aku tidak mampu menahan marah aku terlepas kata “Dia ni memang cermat sikit orangnya kak” pada peniaga kedai tersebut.

    Setibanya aku di rumah aku terus menikmati Nasi Kukus tersebut sementara menunggu siaran langsung perbentangan Bajet 2008. Aku memang teruja ingin mengetahui apakah yang akan dibentangkan di Parlimen itu yang akan mengembirakan rakyat dan aku sendiri. Ternyata banyak yang dapat membuatkan rakyat tersenyum apabila Bajet 2008 dibentangkan. Walaupun Nasi Kukus yang aku beli tidak sedap kerana nasinya seolah-olah beras yang masih mentah namun perbentangan Bajet 2008 ternyata mengembirakan aku dan rakyat.

    One Response to “Catatan Jumaat”

    1. Mr WordPress Says:

      Hi, this is a comment.
      To delete a comment, just log in, and view the posts’ comments, there you will have the option to edit or delete them.

    Leave a Reply

    *
    To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
    Anti-Spam Image