Catatan Jumaat 3
Hari ini hari Jumaat yang kedua di dalam bulan Ramadhan Al-mubarak, pada hari ini juga genablah 8 hari penulis umat Islam Malaysia berpuasa. Pada hari ini menghabiskan masa pagi penulis dengan membersihkan komputer penulis yang telah dijangkiti worm. Hampir kesemua folder di dalam cakera keras komputer penulis dijangkiti worm. Mujurlah penulis ada perisian AVG Anti-Malware 7.5 dengan bantuan perisian ini penulis berjaya menghapuskan jangkitan pada cakera keras komputer penulis.
Jangkitan worm ini berkemungkinan bermula daripada tindakan rakan penulis yang memasang cakera keras mudah alih atau portable hard drive di komputer penulis tanpa membuat ujian pengesanan atau scan for virus or thread. Penulis tidak mengetahui perbuatan rakan penulis ini kerana pada waktu itu penulis tiada di rumah kerana ada urusan. Penulis hanya mendapat tahu selepas diberitahu oleh rakan penulis yang lain. Walaubagaimanapun, penulis bersyukur kerana komputer penulis dapat dibersihkan.
Pada pukul 1 tengahari penulis mandi sebelum ke Masjid Muhammadi untuk menunaikan Solat Jumaat. Penulis merasa sungguh gembira kerana sudah 8 hari penulis dapat mengerjakan ibadah puasa tanpa sebarang masalah. Puasa juga tidak menghalang penulis untuk menunaikan solat Jumaat. Kadang-kadang terasa juga lapar dan dahaga tetapi penulis cuba atasinya dengan menguatkan semangat penulis.
Setelah selesai menunaikan Solat Jumaat, penulis terus pulang ke rumah yang disewa oleh penulis. Di rumah penulis menghabiskan masa terluang dengan menonton klip video wayang kulit di portal youtube. Wayang Kulit mengingatkan nostalgia penulis sewaktu kecil dahulu di mana persembahan wayang kulit begitu meluas, tetapi sayangnya persembahan Wayang Kulit dewasa ini sudah berkurangan. Kita sepatutnya mengekalkan budaya kita ini sebagai harta untuk tontonan anak cucu kita pada suatu hari nanti.
Pada pukul 5.30 petang, langit mula gelap, mendung pun berarak menandakan hari nak hujan. Angin bertiup kencang dan beberapa lama selepas itu. Hujan turun dengan lebat sekali membasahi bumi. Itulah kebesaran Allah s.w.t. Pada waktu itu penulis bimbang juga kalau hujan tidak berhenti sehingga waktu berbuka nanti memandangkan penulis berbuka di kedai makan. Namun penulis bersyukur kerana kebimbangan penulis itu hanyalah sementara apabila menjelang waktu berbuka hujan mulai perlahan dan terus berhenti.
Pada hari ini penulis pergi berbuka di Kedai Abe Pa, penulis memesan nasi kukus dan air Milo Kosong Gelas Suam. Nasi Kukus merupakan antara makanan yang popular di Kelantan. Nasi yang dikukus dan dihidangkan bersama Ayam Goreng berempah ini memang lazat dan menyelerakan. Kepada yang belum pernah mencuba bolehlah mencubanya. Kalau datang ke Kelantan carilah gerai-gerai yang menjual Nasi Kukus untuk merasakan kenikmatanya.
Selepas selesai berbuka puasa, Penulis terus pulang ke rumah dan menunaikan Solat Maghrib. Selepas menunaikan Solat Maghrib, penulis secara tidak sengaja menonton berita Buletin Utama yang melaporkan mayat kanak-kanak yang dijumpai oleh Polis beberapa hari lalu disahkan adik Nurin Jazlin. Penulis sebak mendengar berita itu, kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu telah dibunuh kejam dan juga menjadi mangsa penderaan Seksual. Penulis juga secara tidak sengaja telah menjatuhkan air mata penulis kerana tidak dapat menahan kesedihan menonton ahli keluarga Nurin Jazlin yang bercucuran air mata. Penulis berharap pihak berkuasa dapat segera menangkap mereka yang bertanggungjawab dalam menyebabkan Nurin Jazlin meninggal dunia.
Akhirkata marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihan kepada Allahyarhamah Adik Nurin Jazlin dan kepada yang bukan Islam, bertafakurlah seketika.