RSS 2.0
  • Home
  • Bibliografi
  •  

    Catatan Pertama di Bulan Ramadhan

    Pejam celik, pejam celik Alhamdulillah kita sudah berada pada hari yang ketujuh pada bulan yang pernuh keberkatan ini. Bulan yang memberi seribu rahmat kepada umat Islam dan insan biasa sepertimana aku yang lahir ke dunia lebih kurang dua puluh enam tahun yang lalu.

    Syukur ke hadrat Ilahi aku panjatkan memandangkan keranaNYA aku berjaya mengahadapi rintangan demi rintangan yang timbul sewaktu aku berpuasa, Ramadhan memang banyak menguji kesabaran aku, pada bulan ini jugalah hati aku tersentuh apabila melihat ada insan yang tidak begitu bernasib baik.

    Waktu berbuka, aku memilih untuk berbuka puasa di satu tempat di dalam daerah Kota Bharu, yang dikenali oleh warga Kota Bharu sebagai ‘Padang Bas’ atau nama  sebenarnya ialah Medan Selera Buluh Kubu. Letaknya tidak jauh daripada Terminal BAS SKMK Kota Bharu yang berada betul-betul di pusat bandar. Bersebelahan dengan medan selera tersebut  letaknya sebuah Rumah Pangsa yang turut dikenali dengan nama Flat Buluh Kubu.

    Di “Padang Bas’ warung ataupun kedai yang menjadi kegemaran aku adalah Warung Kak Lah kerana bukan sahaja masakanya boleh tahan, tetapi ada sesuatu perkara yang bernilai yang aku dapat pelajari daripada Gerai  Makan ini. Apa yang menariknya, pekerja kedai ini sebahagian besarnya adalah remaja belasan tahun.

    Di gerai inilah, aku dapat berjumpa dengan seorang remaja yang begitu bekerja membanting tulang bagi menyara dirinya sendiri. Remaja itu pula memang peramah orangnya dan senyuman boleh dikatakan tidak lekang daripada mulutnya, namanya ialah Saiful, kadang-kadang aku panggil epul sahaja.

    Memang kegigihan dan semangat suka berdikari, sememangnya terpahat di setiap anak-anak muda Kelantan, walaupun aku bukanlah berasal dari kelantan namun aku tetap bangga denganya. Mana tidaknya, kalau nak dibandingkan remaja yang seumur denganya di tempat aku, jauh lebih baik remaja belasan tahun Kelantan kerana ‘malasnya’ tuhan sahaja yang tahu, dah tu pulak memilih kerja, jarang sangat remaja belasan tahun bekerja di tempat aku.

    Berbalik kepada cerita aku mengenai Remaja Lelaki Belasan Tahun yang bekerja sebagai Pelayan di Gerai Makan tersebut iaitu Saiful ataupun Epul. Dalam masa remaja lain yang sama umurnya denganya bersekolah, beliau pula terpaksa ‘berhenti’ daripada sekolah memandangkan kesempitan hidup yang dialami oleh keluarganya.

    Aku sempat juga bertanya, mengenai keluarganya sewaktu aku terjumpa denganya satu hari yang lalu, Epul memang orang yang susah, namun hidup perlu diteruskan, beliau sanggup mengorbankan detik dan waktu untuknya bersekolah demi mencari sesuap nasi. Bertambah malang lagi, sekiranya pemilik gerai tersebut tidak membuka gerainya untuk bercuti kerana sumber pendapatan epul akan terjejas.

    Perasaan belas-kasihan aku telah membuatkan aku simpati denganya, lalu aku cuba menghulurkan bantuan dengan memberinya sedikit wang setakat aku mampu kerana nak bantu lebih-lebih pun aku tak berkemampuan. Kisah epul memang buat aku betul-betul sedih.

    Epul memang seorang yang sabar dan tabah, aku masih ingat beberapa hari yang lalu, sewaktu aku pergi ke gerain tempat dia bekerja untuk berbuka puasa, aku lihat dengan mata kepala aku sendiri, sewaktu aku berbuka puasa dengan beberapa potong kuih dan nasi berlaukkan Daging Goreng Kunyit, epul pula hanyalah berbuka puasa dengan sekadar meneguk air teh o ais beberapa teguk. Selepas itu, aku juga menyaksikan seorang pelanggan memarahi Saiful dek kerana kelewatan penerimaan makanan yang dipesanya.

    Sebagai orang yang pernah bergelar pelayan kedai makan, perasaan aku terguris melihat epul dimarah sebegitu rupa, namun epul tetap tersenyum mendengar nafsu amarah pelanggan itu, tapi aku tahu ‘jauh di lubuk hati epul’ perasaanya tetap terguris kerana dulu aku pun bekerja sepertinya setiap hari terpaksa memendam perasaaan.

    Kadang-kadang aku terfikir juga, kenapalah Manusia yang bergelar umat Islam boleh bersabar selama sembilan jam untuk menunggu waktu berbuka, tetapi tidak lagi bersabar untuk menunggu hanyalah beberapa minit lagi sedangkan apabila berpuasa kita digalakkan banyak bersabar. Tindakan pelanggan itu benar-benar membuatkan aku marah.

    Aku amatlah berharap agar, umat Islam akan berubah, perbanyakkan lah bersabar, apa yang aku dapat pelajari daripada Saiful ialah kalau aku fikir aku insan yang kurang bernasib baik, ada lagi insan yang lebih kurang bernasib baik berbanding aku. Puasa kali ini memang benar-benar mendidik aku erti kesabaran.

    Akhir kalam, jumpa lagi dalam catatan aku di lain kali. Sekian. Semoga Allah merahmati kamu.

    Leave a Reply

    *
    To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
    Anti-Spam Image